KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) akan mengadakan persidangan tahunannya untuk kali ketujuh di New Delhi pada Isnin ini.
Mesyuarat itu diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke India dengan tema ‘Memacu Pelaksanaan Ekonomi Digital dan Bioekonomi’. Majlis penasihat itu yang ditubuhkan pada 2011, adalah usaha kerajaan dalam membuat lonjakan dari negara berpendapatan sederhana ke negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
GSIAC adalah sebuah majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, manakala ahli-ahlinya terdiri daripada kalangan tokoh-tokoh ekonomi, perniagaan, sains teknologi tempatan dan antarabangsa yang dihormati.
“Melalui kelebihan pandangan dan nasihat GSIAC, Malaysia akan tetap berada di landasan menuju status negara maju,” kata Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Zakri Abdul Hamid.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), berkata sejak penubuhannya pelbagai program dan inisiatif telah dibangunkan oleh GSIAC berdasarkan peranan sains dalam merencana kemajuan negara.
Zakri yang juga ahli Lembaga Penasihat Sains Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, mesyuarat ketujuh GSIAC di New Delhi akan membincangkan pelbagai aliran antarabangsa semasa dan akan datang.
Di samping itu, ia juga akan membincangkan isu-isu berhubung produktiviti dan daya saing menjelang Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), amalan terbaik global dan juga fenomena pembangunan pesat industri teknologi maklumat dan bioekonomi di India.
“Ini dijangka membantu Malaysia dalam usaha negara membentuk pelan tindakan dan daya saing 4IR.
“India adalah sebuah kuasa ekonomi Asia yang sedang berkembang pesat dan juga rakan ekonomi dan perdagangan penting Malaysia. Kedua-dua negara berhasrat memperkukuh hubungan antara negara agar dapat memanfaatkan potensi faedah yang besar. Pada tahun 2015, India adalah rakan perdagangan ke-10 terbesar Malaysia dengan nilai dagangan berjumlah AS$12.02 bilion.
Ini adalah peluang terbaik untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan kepada pelabur asing dalam industri ekonomi digital dan bioekonomi di samping menggalakkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan antara negara dan pelbagai institusi.
Zakri berkata, pembentukan Zon Perniagaan Bebas Digital (DFTZ) di Malaysia oleh Perdana Menteri yang dilancarkan baru-baru ini akan menyumbang pelbagai manfaat kepada para usahawan.
Katanya, melalui persekitaran yang kondusif bagi syarikat-syarikat digital menjalankan perniagaan – inovasi berasaskan internet yang seterusnya akan menjadi pemangkin kepada ekonomi Malaysia.
Biocon, sebuah syarikat biofarmasiutikal premier India akan melabur di Malaysia dalam sektor bioekonomi untuk pengeluaran produk bioterapiutik yang selamat, berkesan dan berpatutan.
Sumber: Berita Harian Online