fbpx
 

KERJASAMA MYSIP-MIGHT, BAWA MALAYSIA, SEPANYOL KE HADAPAN DALAM SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

November 27, 2023by Administrators

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Program Inovasi Malaysia-Sepanyol (MYSIP), inisiatif bersama antara Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Jabatan Pendidikan Tinggi (DOHE) dan Pusat Pembangunan Teknologi Perindustrian (CDTI) di Sepanyol, bertujuan mempromosikan peluang perniagaan baharu dan mengkomersialkan projek penyelidikan serta pembangunan berimpak tinggi antara industri dan akademik.

MIGHT dalam kenyataan hari ini memaklumkan MYSIP yang ditubuhkan pada 2016 telah menunjukkan kejayaan besar dengan tiga projek perintis sedang dijalankan yang berpotensi besar untuk dikomersialkan di Malaysia dan Sepanyol.

“Kerjasama antara Malaysia dan Sepanyol dalam bidang sains, teknologi dan inovasi dijangka mencapai kemajuan luar biasa.

“Kedua-dua negara komited untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti bahan termaju, bandar lestari, bioteknologi dan sains angkasa,” menurut kenyataan itu.

Agensi itu berkata bagi menggalakkan lagi program itu dan memperhebat penyertaan daripada industri dan ahli akademik, satu acara perkongsian maklumat yang dikenali sebagai MYSIP Info Day telah diadakan di MIGHT.

“Acara ini memperincikan panggilan baharu untuk bagi program ini dan geran disediakan oleh MIGHT dan DOHE untuk projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi yang berpotensi untuk dikomersialkan, yang bakal ditutup pada Januari 2024,” menurut MIGHT.

Menurut MIGHT, satu daripada projek di bawah program MYSIP melibatkan kerjasama antara pemain industri Maju Saintifik dan akademia di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Eika S. Coop dari Sepanyol.

“Bersama-sama, mereka membangun dan mengkomersialkan salutan berasaskan aerogel berciri ekologi yang menangani keperluan kecekapan tenaga dalam industri. Cat inovatif ini mengurangkan kehilangan haba dan memastikan ia selamat untuk disentuh apabila digunakan terus ke permukaan atau panel ultra nipis.

“Projek ini boleh memberi manfaat kepada industri seperti bateri kenderaan elektrik, sektor pembinaan dan gerai makanan. Ketika ini, projek rintis sedang dijalankan di Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Satu lagi kerjasama adalah antara Berjaya Enviroparks Sdn Bhd, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Entomo Industrial dari Sepanyol yang memberi tumpuan kepada penghasilan chitosan (sejenis bahan yang digunakan dalam penghasilan ubat) daripada lalat askar hitam, menggunakan pelbagai sisa organik yang dihasilkan di tapak pelupusan sampah.

“Penyelesaian inovatif, ekologi, berkos rendah ini mempunyai potensi besar dalam pasaran teknologi pengurusan sisa dan kitar semula,” menurut MIGHT.

MIGHT berkata projek ketiga melibatkan kerjasama dengan TasBlock (M) Sdn Bhd, Universiti Sains Malaysia (USM) dan CYGSA dari Sepanyol untuk membangunkan sistem bumbung IBF berasaskan komposit kayu-plastik, menggunakan polimer kitar semula dan gentian semula jadi.

“Projek itu akan memperbaharui cara pembinaan bumbung, menjadikannya lebih mudah, selamat, selesa dan berpatutan. Dengan menggalakkan kitar semula bahan buangan dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida, projek ini menyumbang kepada gaya hidup yang lebih baik dalam masyarakat,” katanya.

Bagi menyumbang kepada ekonomi negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan agensi-agensinya untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa memandangkan projek berkenaan akan membantu memastikan inovasi tempatan memenuhi standard global yang tinggi dan berjaya menembusi pasaran global, menurut kenyataan itu.

–BERNAMA

Administrators

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.