fbpx
 

Kolaborasi MIGHT dan Yayasan LTAT tingkat kemahiran veteran, anak warga ATM

May 25, 2023by Administrators

LANGKAWI, 25 Mei – Kumpulan Industri- Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) memeterai persefahaman untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran dan anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam industri pengujian tanpa musnah (Skilled Personnel Program in Non-Destructive Testing) di bawah program LAKSAMANA.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd Yusuff Sulaiman berkata, inisiatif di bawah CSR bertujuan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam industri NDT yang mampu memberi nilai tambah seiring Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR) negara.

“Usaha ini adalah salah satu inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami bagi melaksanakan program LAKSAMANA yang dirangka khusus buat anak warga ATM dan veteran ATM seluruh negara,” katanya.

Jelasnya, kerjasama antara YLTAT dan MIGHT akan berlangsung selama dua tahun, dimulai pada bulan Jun hadapan sehingga 2025 dan  dianggarkan bakal memberi manfaat kepada seramai 100 peserta.

Antara aspek kerjasama  termasuk menyediakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan memberikan sijil di bawah pensijilan “Personnel Certification Scheme (ICPS) serta menawarkan laluan kerjaya yang kompetitif kepada penerima manfaat di 42 syarikat berdaftar di bawah MIGHT.

Pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), YLTAT diwakili Mohd. Nizar, manakala MIGHT diwakili  Mohd Yusoff.

Majlis turut disaksikan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff  berkata, kolaborasi antara MIGHT dan YLTAT ini mampu memperkasakan anak-anak dan veteran supaya memiliki kemahiran teknikal dan kebolehan dalam bidang teknologi untuk memiliki kerjaya pada masa depan.

“Kami yakin melalui kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kumpulan yang berkepentingan dan menyumbang kepada ekonomi negara selaras dengan hasrat kerajaan untuk menghasilkan nilai insan yang memiliki kemahiran dalam teknologi,” katanya. – nasionalkini.my

Administrators

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.