fbpx
 

MIGHT sasar 50 syarikat sertai GCIP

February 3, 2017by

KUALA LUMPUR: Lebih banyak syarikat permulaan teknologi bersih tempatan dijangka mengambil bahagian dalam Program Inovasi Teknologi Bersih Global (GCIP) tahun ini kerana ia dapat membuka peluang meneroka ke pasaran luar negara.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, berkata berikutan minat yang semakin meningkat dalam industri teknologi bersih, pihaknya menyasarkan 50 syarikat mengambil bahagian dalam program tahun ini.

“Kita dapat menyaksikan minat yang semakin meningkat dan ini bermakna kita boleh melihat lebih banyak lagi yang muncul dari industri. Dan apabila anda menjalankan perniagaan dengan betul, anda boleh memasarkan produk anda di pasaran luar negara, ” katanya kepada pemberita selepas pengumuman pemenang GCIP tahun lepas di sini, hari ini.

Tiga pemenang kebangsaan GCIP 2016 akan mewakili Malaysia dalam Forum Terbuka Teknologi Bersih Global di Silicon Valley, San Francisco dari 6 hingga 10 Februari 2017.

Neutrinos Engineering Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara, diikuti oleh Syngas Sdn Bhd yang muncul sebagai naib juara dan iCEE International Sdn Bhd di tempat ketiga.

Yusoff berkata, mereka akan bersaing dengan peserta dari Afrika Selatan, India, Pakistan, Turki, Maghribi, dan Armenia.

Forum Terbuka Teknologi Bersih Global memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk berinteraksi dengan pelabur global dan tempatan serta membuka pintu kepada kemungkinan pasaran baru, selain bersaing untuk dinobatkan sebagai pemenang global dalam teknologi bersih.

Katanya, MIGHT memberikan sokongan kepada pengatur cara pecutan GCIP dalam meningkatkan usahawan teknologi ke arah menjadi peserta industri serantau dan global.

“Dengan berbuat demikian, kami akan terus membabitkan sektor awam dan swasta dalam meningkatkan amalan hijau dan menjadikannya kebiasaan dalam kalangan masyarakat hari ini, dan juga untuk industri untuk mendapatkan peluang baharu dalam ekonomi baharu muncul,” katanya.

BERNAMA

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.