fbpx
 

Mosti sasar 20 teknologi, inovasi tempatan diguna pakai di peringkat PBT

February 22, 2024by Administrators

CYBERJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menawarkan 20 teknologi pintar buatan tempatan yang boleh dimanfaatkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, buat masa ini, 20 teknologi tempatan itu dilihat sesuai untuk memantapkan lagi sistem penyampaian dan pengurusan di peringkat PBT.

Beliau berkata, ia termasuk sistem pintar pengurusan sisa pepejal, konsep pengurusan bandar pintar dan produk tenaga diperbaharui dan sistem pengesanan cerun.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 20 teknologi dan imovasi tempatan diguna pakai di peringkat PBT menjelang tahun 2025,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan delegasi PBT dari Perak diketuai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatannya, Sandrea Ng Shy Ching, hari ini.

Delegasi membabitkan wakil PBT seluruh negeri Perak itu diberi taklimat berkaitan teknologi oleh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Katanya, sistem teknologi dan inovasi pintar bukan sahaja menjimatkan kos malah, ia membantu menjimatkan tenaga kerja dan memudahkan pemantauan.

Justeru, Lih Kang berkata, pihaknya juga menjemput PBT lain di seluruh negara bagi berkongsi teknologi terkini yang boleh dimanfaatkan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, setiap PBT boleh memilih teknologi sesuai dengan keperluan mereka memandangkan setiap PBT ada keperluan yang berlainan. – KOSMO! ONLINE.

Administrators

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.