Dalam tempoh empat minit, pelajar tahun tiga, Fakulti Kejuruteraan dan Sains, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu perlu membentangkan projeknya yang berjudul Timetable Arranging Program iaitu perisian jadual pendaftaran subjek atau kursus di universiti mereka dengan jayanya.

Di balik tabir pula, dua lagi rakan pasukan iaitu Dheenodara Rao, 22, dan Seah Sheng Hong, 20, sibuk menyusun atur bahan persembahan yang akan dipaparkan di skrin utama.

Mungkin ia kelihatan mudah memandangkan mereka terdiri daripada golongan cerdik pandai yang menuntut di menara gading namun hakikatnya tanggungjawab besar digalas untuk mengharumkan nama universiti.

Meskipun, pembentangan sedikit tergugat akibat rasa gementar yang menguasai namun pasukan itu berjaya menjawab setiap soalan dengan begitu yakin dan lancar.

Projek tersebut berjaya mencuri perhatian panel juri kerana berbeza dengan pasukan lain selain telah diimplementasikan di UTAR dengan jayanya.

Ia melayakkan mereka dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000 seterusnya mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa di Jepun Oktober ini.

Pertandingan Inovasi Pengaturcaraan Perisian (Procom) 2018 anjuran Chinese Weekly yang julung-julung kali diadakan di negara ini berlangsung selama dua hari bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi memupuk generasi muda yang kreatif dan inovatif.

Kondusif bermaksud perisian atau produk yang dihasilkan perlu mesra alam, menjimatkn kos, mudah digunakan dan mempunyai kecekapan yang tinggi. Kondusif penting dalam memastikan produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti.

Pertandingan ini terbuka kepada semua universiti awam atau swasta. Setiap universiti boleh menghantar seberapa banyak pasukan untuk bertanding dengan syaratnya setiap pasukan perlu menyiapkan produk atau perisian sebelum bertanding.

Selain itu, mereka juga perlu menghasilkan poster untuk menerangkan tentang produk pada hari pertandingan. Ketika pertandingan berlangsung setiap pasukan akan membentangkan produk masing-masing.

Pada kali ini, ia disertai 13 kumpulan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk Universiti Multimedia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kolej New Era.

Pertandingan itu disokong penuh oleh Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan agensi dari Jepun, Nourishment Association for Programming Contest Kosen.

Bagi Jia Hau, pengalaman berharga yang diperolehnya adalah dapat mempelajari teknik untuk menenangkan diri apabila berhadapan dengan ratusan penonton walaupun pada mulanya agak gementar.

“Pada mulanya, saya agak gementar dan takut apabila semua orang menumpukan perhatian ke arah saya sehingga menjejaskan sedikit kualiti pembentangan.

Tanggungjawab

“Namun, saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan kembali tenang apabila memikirkan tanggungjawab besar yang digalas selain tidak mahu menghampakan harapan pelbagai pihak,” katanya yang ditemui Kosmo! di Bahagian Kejuruteraan Internet dan Sains Komputer, Lee Kong Chian Fakulti Kejuruteraan dan Sains UTAR, Kampus Sungai Long, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Jia Hau dan dua lagi rakannya amat gembira dengan kejayaan berkenaan selepas berusaha gigih untuk memastikan kemenangan itu dapat diraih pasukan mereka.

Kejayaan itu hadir berikutan perisian berinovasi itu ternyata memberikan manfaat kepada masyarakat. Selain itu, mereka berjaya memikat hati para juri ketika sesi pembentangan dan soal jawab.

Cerita anak sulung daripada dua beradik itu, projek perisian jadual tercetus apabila dirinya dicabar oleh rakannya suatu ketika dahulu bagi mengatasi masalah yang sering dihadapi pelajar di fakulti.

“Sekadar suka-suka, saya membangunkan perisian berkaitan dengan jadual penyusunan kursus bagi mengatasi masalah yang sering disuarakan para pelajar ketika mahu mendaftar kursus pada akhir semester.

“Ia diubah sebanyak beberapa kali setelah mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan fakulti bagi meningkatkan kecekapan penggunaannya sebelum cadangan implementasi dikemukakan kepada pengurusan fakulti,” katanya.

Bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa itu berkata, cabaran utama dalam menjayakan projek tersebut adalah kekuatan mental apabila percubaannya tidak menjadi.

Jia Hau memberitahu, dia cuba menambah baik hampir sepuluh kali dalam tempoh enam bulan sebelum perisian berkenaan dapat berfungsi seperti yang diharapkan.

Wakili negara

Bercerita mengenai persediaan ke Jepun, seorang lagi ahli pasukan, Dheenodara berkata, mereka akan bertungkus-lumus dalam masa tidak sampai dua bulan termasuk mengubah suai kecekapan perisian jadual dan melakukan lebih banyak latihan pembentangan.

“Konsep pertandingan di Jepun sama sahaja dan pada saya, kami perlu melakukan yang terbaik dan bekerja dalam satu pasukan kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab yang perlu dijalani.

“Ditambah pula sekarang kami sedang menjalani peperiksaan semester akhir dan pembahagian masa adalah komitmen utama yang perlu dititikberatkan,” katanya.

Dheenodara memberitahu, pasukannya akan menambah baik segala kekurangan projek berdasarkan pelbagai kritikan dan maklum balas yang bernas daripada panel juri serta penonton.

Cerita bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara Serting, Negeri Sembilan itu, mereka akan bertemu sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi menjalankan penambahbaikan projek.

“Masing-masing mempunyai kepakaran yang tersendiri dan kami saling bertukar pendapat bagi menambah baik pasukan ini sebagai persediaan berhadapan dengan pasukan luar negara kelak,” katanya.

Sementara itu, Sheng Hong melihat pertandingan berkenaan adalah medan untuk memperbaiki karakter dirinya yang pasif dan introvert.

Cerita anak kelahiran Setiawan, Perak itu, dia seorang yang pemalu dan menghadapi masalah komunikasi apabila berdepan dengan orang luar.

Namun, atas dorongan rakan baik dan para pensyarah dia bertekad mahu mengubah karakternya itu kerana khuatir ia akan mendatangkan masalah di alam kerjaya kelak.

Nilai tambah

“Pertandingan ini menjadi platform untuk saya meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi apabila berhadapan dengan ramai orang yang tidak dikenali,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Tinggi Nan Hua itu memberitahu, dua rakan pasukannya menerima kekurangan yang dimiliki dan sentiasa memberi kata-kata semangat untuknya menjadi lebih baik.

“Setiap hari, saya akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam untuk berlatih di hadapan cermin menjawab jangkaan-jangkaan soalan yang akan diajukan.

“Saya juga akan bertemu dengan rakan-rakan dan berlatih di hadapan mereka bagi menambahkan keyakinan diri,” ujarnya.

Bagi Ketua Jabatan Kejuruteraan Internet dan Sains Komputer, Lee Kong Chian Fakulti Kejuruteraan dan Sains UTAR, Dr. Madhavan Balan Nair, penglibatan pelajarnya dalam Procom 2018 adalah sebahagian proses untuk melahirkan mahasiswa yang holistik.

“Mereka ini memiliki potensi yang besar dan mempunyai latar belakang yang cemerlang tidak kira akademik mahupun kokurikulum.

“Justeru, dengan pertandingan sebegini setidak-tidaknya mampu menjadi nilai tambah kepada mereka sebelum menjengah ke alam kerjaya kelak,” katanya.

Madhavan optimis, ketiga-tiga anak didiknya itu akan berusaha sebaik mungkin dalam mengharumkan nama negara di mata dunia Oktober ini meskipun persekitarannya agak berbeza.