fbpx
 

Asas perniagaan kukuh teras pertumbuhan masa depan Taman Teknologi Kulim

November 22, 2021by

KULIM, 22 Nov — Kulim Technology Park Corporation (KTPC) menyasarkan untuk ‘memenuhi dan melebihi’ keperluan para pelanggannya agar terus kekal sebagai taman teknologi yang ulung di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mohd Sahil Zabidi berkata untuk meningkatkan nilai tambah dalam perkhidmatan dan tawarannya, syarikat itu berhasrat memperkukuh ekosistem perindustrian Taman Teknologi Tinggi Kulim.

“Ini bermaksud menarik penglibatan industri sokongan, mungkin menerusi taman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya penyewa dapat menikmati rantaian bekalan yang lebih terjamin dan kos-berkesan, di samping memantapkan rantaian nilainya,” kata beliau.

Beliau berkata KTPC turut berusaha menggabungkan elemen keperluan penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui program pembangunan mampam berstruktur.

Ia merangkumi inisiatif kuasa solar yang giat dipromosikan kepada penyewa, bukan sahaja kerana ia menjanjikan kos operasi yang ketara lebih rendah, malah, yang lebih penting adalah ‘perkara yang wajar untuk dilaksanakan.’

“Kesemua ini diperlukan untuk kaitan yang berterusan dan model pertumbuhan pada masa depan,” katanya.

Mohd Sahil menegaskan KTPC tidak boleh kekal bergantung secara realistik kepada pengembangan keluasan ekar sebagai sumber pertumbuhan kerana tanah merupakan sumber yang terhad.

“Dalam beberapa dekad akan datang, kita perlu menjangka kemungkinan untuk penyewa berpindah atau keperluan untuk dibangunkan semula.

“Kita telah menyatakan cadangan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Kewangan mengenai rancangan dana pemulihan,” katanya.

Sebahagian daripada jumlah pajakan ini perlu disimpan dan pelepasan cukai diberikan untuk membaik pulih bangunan sama ada ia mengalami kerosakan atau bermasalah.

“Kita bernasib baik memandangkan kebanyakan penyewa kita, secara umumnya daripada industri yang ‘bersih.’ Bagaimana dengan industri yang mempunyai buangan kotoran yang lebih tinggi atau penggunaaan bahan kimia? Ia akan menjadi beban kepada kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap agar pembangunan taman itu akan memberikan kesan yang kekal dan positif terhadap masyarakat sekeliling.

“Kami mahu pelajar sekolah tahu bahawa KTPC menawarkan peluang kerjaya yang luas terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan sains tulen. Kami sedang menyediakan galeri dan pusat inovasi dan mereka boleh datang dan melihat sendiri bagaimana teknologi menampilkan ciri yang kukuh dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Taman teknologi itu mempunyai satu penyewa yang menghasilkan sistem hiburan dalam penerbangan manakala penyewa-penyewa lain menghasilkan wafer selaku komponen penting dalam telefon mudah alih dan peralatan elektronik.

Beliau memberikan contoh bagaimana Intel, antara penyewa awal taman teknologi berkenaan yang pada masa itu menumpukan kepada aktiviti pengujian dan pemasangan, kini telah beralih kepada reka bentuk dan pembangunan serta penyelidikan dan pembangunan.

Malaysia menerima pakai teknologi dengan mudah dan generasi akan datang harus menerima keupayaan yang membolehkan mereka mendalami inovasi teknologi untuk kejayaan komersial dan pembangunan negara, katanya.

Walaupun mengalami iklim pelaburan yang sukar dalam tempoh dua tahun lepas, Taman Teknologi Tinggi Kulim mencatatkan peningkatan hasil 117.72 peratus kepada RM172 juta pada 2020, berbanding jumlah yang dicatatkan pada tahun sebelumnya sebanyak RM79 juta.

Ia dijangka terus meningkat menjelang akhir 2021 walaupun berdepan ketidakstabilan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang merupakan bukti kepada daya tahan dan kebijaksanaan pengurusannya yang telah lama memberi perhatian teliti terhadap asas perniagaannya.

Dibangunkan dan diuruskan oleh KTPC, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan anggota Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), taman teknologi tinggi bersepadu sepenuhnya dan terulung itu adalah taman teknologi tinggi pertama di Malaysia yang dibuka secara rasmi pada 1996.

Ia terletak di Wilayah Ekonomi Koridor Utara dengan keluasan kira-kira 1,618.7 hektar.

Ketika ini, taman teknologi itu memegang aset dan pelaburan melebihi RM100 bilion.

Mohd Sahil berkata walaupun sesebuah entiti mendapat sokongan penuh kerajaan, ia mesti sentiasa menyasarkan kepada pengukuhan kewangan dan membina rizabnya sendiri.

Mohd Sahil menyandang jawatan itu pada 2019 selepas berkhidmat sebagai Naib Presiden Kewangan dengan memberikan keutamaan tertinggi terhadap disiplin pengurusan kewangan.

Beliau kemudiannya mengambil alih jawatan sebagai Naib Presiden Kanan Strategi Korporat apabila pelan strategik lima tahun untuk syarikat itu siap.

“Kedua-dua elemen itu kekal sebagai teras operasi kami — sebuah latihan perancangan korporat lima tahun yang mantap dan komprehensif yang bertujuan memperkukuh rizab dalaman serta kekuatan kewangan,” katanya.

Persaingan untuk penyewa dalam kalangan taman teknologi bukan sahaja membabitkan penggiat tempatan, malah, adalah lumrah global.

Dalam konteks ini, KTPC terus membina jenamanya sejak dua dekad lepas dan telah melabur dalam infrastruktur terbaik.

Bagi menjamin momentum pertumbuhan, beliau memberi perhatian yang sangat teliti kepada cadangan nilai taman itu dan apa yang boleh ditawarkan kepada penyewa berpotensi.

Semua ini perlu dimulakan dengan pasukan penyelidikan yang kukuh termasuk idea yang jelas mengenai jenis pelaburan strategik yang ingin ditarik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, KTPC mengalu-alukan penggiat industri antaranya dalam bidang bahan canggih, instrumen perubatan serta tenaga boleh diperbaharui selaku industri utama bagi memacu Malaysia menuju era pertumbuhan seterusnya.

Beliau berkata walaupun sebelum ini tumpuan diberikan kepada insentif sebagai tarikan utama untuk pelabur, ia tidak boleh dibuat selama-lamanya terutama dengan beberapa negara seperti vietnam yang sanggup memberi tanah secara percuma.

“Kini, pelabur datang dengan pelaburan yang besar dan menyasarkan komitmen jangka panjang. Mereka mengharapkan keputusan dan pelaksanaan yang lebih pantas,” katanya.

Biasanya, pelabur menyasarkan tapak yang memenuhi tiga kriteria utama. Senarai yang teratas adalah kelompok bakat atau pekerja.

“Apa-apa kelebihan yang anda mahu tunjukkan kepada pelanggan perlu sentiasa berasaskan bukti.

“Sebagai contoh, jika pelanggan berpotensi bertanya mengenai ketersediaan bakat, kita akan mendapatkan universiti atau institusi pengajian tinggi untuk membentangkan kepada mereka profil dan penawaran tenaga kerja,” katanya.

Kedua, industri ini biasanya menggunakan banyak tenaga, malah, kos dan kualiti utiliti juga berada dalam posisi tertinggi dalam senarai keutamaan mereka. Ini merangkumi bekalan elektrik, air dan kadangkala gas.

Seterusnya adalah kualiti dan keberkesanan perkhidmatan pelanggan. Pengendali taman teknologi tinggi diharapkan mampu menjadi penyelesai masalah yang berkesan kepada pelabur.

“Dalam penglibatan mereka dengan pihak berkuasa tempatan, mereka perlu tahu berapa lama masa yang diperlukan untuk menyiapkan pembinaan kemudahan yang dicadangkan dan ini mesti disertakan dengan fakta dan angka.

“Ini adalah ciri-ciri lain pelabur pada masa kini, mereka sangat terperinci. Mereka tidak lagi berpuas hati hanya dengan gambaran umum,” katanya.

–BERNAMA

Tonton filem percuma dalam talian hanya di filmeseriale.me

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.