fbpx
 

Malaysia perkukuh kepimpinan inovasi serantau – MIGHT

December 7, 2025by Administrators

KUALA LUMPUR: Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sains, teknologi dan inovasi (STI) di peringkat serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perbincangan Cyberjaya (CCS) 2025, sebuah platform strategik yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, industri, akademia dan organisasi serantau yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Persidangan itu pada 3 Disember lalu yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjadi medan penting bagi membincangkan hala tuju masa depan ASEAN yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan. Selari dengan cabaran global serta keperluan pembangunan serantau yang semakin kompleks.

 

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Ts Rushdi Abdul Rahim
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Ts Rushdi Abdul Rahim

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Ts Rushdi Abdul Rahim, berkata pendekatan bersepadu ini selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.

“Sebagai negara yang memainkan peranan utama dalam penyediaan Pelan Tindakan Induk ASEAN bagi Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026–2035, Malaysia mengemukakan pendekatan pragmatik yang menitikberatkan kepentingan negara-negara kecil serta komuniti luar bandar agar tidak tercicir daripada arus inovasi.

“Melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia, perspektif ini diterapkan sejak peringkat perancangan dasar bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang dan inklusif.

“Pendekatan ini turut didukung oleh kerangka Malaysia MADANI yang menekankan kerjasama merentas sektor membabitkan kerajaan, industri, masyarakat sivil dan komuniti akar umbi ( whole-of-nation)” katanya.

Penekanan terhadap potensi Malaysia

Antara hasil penting perbincangan CCS 2025 katanya, penekanan terhadap potensi Malaysia dan Indonesia Grand Challenge sebagai model rintis kerjasama serantau berasaskan penciptaan bersama.

“Gabungan kepakaran akademia, keupayaan industri dan sokongan dasar kerajaan dilihat mampu membantu kedua-dua negara menangani cabaran bersama, termasuk keselamatan makanan, tenaga bersih, perubahan iklim dan pembangunan teknologi baharu.

“Inisiatif ini turut membuka peluang untuk diperluaskan ke peringkat ASEAN melalui konsep ASEAN Grand Challenge, sekali gus mempercepat penyelidikan bersama dan pemindahan inovasi ke pasaran,” katanya.

Menurut Rushdi, seiring konteks sasaran ASEAN untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, kerjasama rentas sempadan dalam bidang inovasi menjadi semakin kritikal.

“Hubungan antara hab inovasi serantau perlu diperkukuh secara strategik melalui prinsip berfikir secara berwawasan, memulakan langkah kecil dan bergerak cepat ( think big, start small, act fast) yang mendorong pelaksanaan projek rintis dilakukan dengan lebih pantas, dinilai keberkesanannya dan diperluaskan ke skala lebih besar.

“Perkongsian data, penyelidikan bersama serta program pembangunan kapasiti dilihat sebagai pemangkin utama ke arah peralihan ASEAN kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan nilai tambah yang tinggi,” katanya.

Kepentingan diplomasi sains

Perbincangan CCS 2025 menurut Rushdi turut menampilkan kepentingan diplomasi sains dalam menghadapi cabaran global. Malaysia meneruskan peranan aktifnya dalam memperjuangkan kepentingan negara membangun, khususnya berkaitan isu perubahan iklim, jerebu rentas sempadan, penebangan hutan, kepupusan biodiversiti serta kemajuan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan unsur nadir bumi (REE).

Sehubungan itu, MIGHT dengan kerjasama universiti swasta, UCSI University sedang memperhalusi pembangunan sebuah Platform Diplomasi Sains ASEAN bagi menyelaras penyelidikan, perkongsian data dan kolabrasi dasar antara negara anggota.

Menyentuh mengenai pertumbuhan ekonomi angkasa global yang dianggarkan mencecah AS$1.8 trilion menjelang 2035 pula, ia turut membuka peluang strategik kepada Malaysia dan ASEAN.

“Pembangunan aplikasi data satelit untuk pertanian pintar, pengurusan bencana dan telekomunikasi luar bandar serta pembuatan komponen satelit, menawarkan potensi besar dalam rantaian nilai global.

“MIGHT telah menerbitkan Navigating Malaysia’s Space Frontier 2024/2025 sebagai panduan hala tuju industri angkasa negara dan menubuhkan Konsortium Industri Angkasa Malaysia (MASIC) untuk memperkukuh kolaborasi industri dengan sokongan teknikal Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

“Bagi mendorong integrasi digital ASEAN, MIGHT turut menekankan pendekatan F.I.R.S.T yang merangkumi kewangan, infrastruktur, peraturan, bakat dan teknologi. Walaupun pembangunan infrastruktur dan bakat menunjukkan kemajuan, perbezaan dasar antara negara anggota kekal sebagai cabaran utama yang memerlukan komitmen kolektif ASEAN untuk ditangani,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/12/1481984/malaysia-perkukuh-kepimpinan-inovasi-serantau-might

Administrators

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links
QUICKLINK
> Careers

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.