fbpx
 

Asia Innovates 2019 tampil 14 inovasi terbaik

October 21, 2019by

 CYBERJAYA: Asia Innovates 2019 anjuran Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Royal Academy of Engineering (RAEng), United Kingdom (UK) menampilkan 14 inovasi penyelidik terbaik yang dipilih daripada tujuh negara untuk dibentangkan di hadapan pelabur dan institusi kewangan dari Malaysia dan Asia. 

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, berkata inovasi itu bakal diketengahkan kepada syarikat pelaburan yang berminat serta institusi kewangan untuk tujuan pembiayaan dan fasilitasi bagi membolehkan ia mampu dikomersialkan di pasaran tempatan dan global. 

Katanya, program tiga hari yang berlangsung pada 15 Oktober itu bakal memberi peluang kepada lebih 150 penyelidik Asia untuk terbabit dalam bidang keusahawanan dan menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dalam bidang berpotensi. 

“Asia Innovates 2019 bukan saja program yang dapat memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan rangkaian di peringkat antarabangsa tetapi juga untuk mengukuhkan keyakinan penyelidik ini berjaya dalam bidang keusahawanan. 

“Disamping itu, program ini menjadi platform strategik untuk mengukuh dan mengeratkan ekosistem inovasi dan keusahawanan negara dan serantau. 

“Pembabitan institusi kewangan, agensi kerajaan dan pihak swasta adalah penting bagi memastikan pelaburan daripada pihak kerajaan dalam membangunkan inovasi di kalangan penyelidik dapat dikomersilkan seterusnya dipasarkan di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan. 

Asia Innovates 2019 turut disokong rakan strategik seperti CIMB Islamic, Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC), Yayasan Usahawan Baharu (MyNEF), Beta-Foundation dan Persatuan Pengurus Inovasi dan Teknologi (ITMA). 

Program tahunan yang menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah kali ini turut disertai rakan strategik antarabangsa dari China, India, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. 

Antara aktiviti menarik yang bakal dianjurkan sepanjang program berkenaan ialah perbincangan panel yang turut dihadiri oleh pakar tempatan dan juga dari UK, bengkel, pertandingan pitching (peringkat akhir) dan sambutan ulang tahun kelima program Leaders in Innovation Fellowships (LIF). 

Mohd Yusoff berkata, LIF menjadi program di bawah Newton-Ungku Omar Fund adalah program dua hala antara Malaysia dan UK dalam bidang sains dan teknologi. 

Katanya, program Newton-Ungku Omar Fund memberi penekanan kepada tiga teras utama iaitu pembangunan modal insan, penyelidikan & pembangunan (R&D) dan aspek translasi. 

“Program lima tahun ini membuka banyak peluang kepada penyelidik dan syarikat tempatan berkolaborasi dengan entiti di UK. Hubungan kerjasama ini mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. 

“Malaysia adalah di antara 17 negara membangun yang menyertai skim Newton,” katanya. 

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.