fbpx
 

MIGHT pacu sektor teknologi tinggi dalam TN50

January 19, 2017by

KUALA LUMPUR – Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), dengan sokongan kukuh daripada ahli dan rakan kongsinya, akan dapat memacu sektor teknologi tinggi dan memberi sumbangan yang besar serta impak kepada visi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata peranan MIGHT sebagai platform kerjasama awam-swasta bagi sektor teknologi tinggi penting dalam TN50, berikutan ia berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara ke-10 terbesar di dunia dari segi nilai eksport teknologi tinggi pada 2014 sebanyak  US$63.3 bilion.

“Ini merupakan pencapaian cemerlang oleh sebuah negara kecil seperti Malaysia, terutamanya di bawah ekonomi global semasa yang tidak menentu.

“Berada pada kedudukan ke-11 dalam Teknologi Tinggi global pada 2014 merupakan trend yang baik yang kita perlu kekalkan, melalui usaha agensi kerajaan dan peserta industri,” katanya pada sidang media selepas acara MIGHT bertemakan, ‘Tribute to Partnership’ di sini hari ini.

Pada acara itu, dua institusi dan individu diiktiraf atas sumbangan cemerlang mereka kepada industri teknologi tinggi di Malaysia bagi 2016.

Ia adalah Suruhanjaya Tinggi Britain bagi segmen antarabangsa; Free the Seed Sdn Bhd bagi keusahawanannya; dan jurutera, Datuk Ir Hong Lee Pee atas sumbangan individu yang cemerlang.

Nancy berkata MIGHT membuktikan kejayaannya yang berterusan dalam mengadakan platform untuk peserta industri berkongsi pengetahuan mereka bagi terus membangunkan industri tempatan untuk kepentingan negara.

MIGHT kini terdiri daripada ahli-ahli dari pelbagai sektor teknologi tinggi seperti aeroangkasa, kereta api, solar, bioteknologi dan lain-lain, dan peneraju dalam segmen masing-masing, dengan campuran syarikat berkaitan kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, institusi penyelidikan, ahli akademik dan institusi kerajaan.

“Mari kita menuju ke hadapan bersama-sama dan meraih peluang yang banyak yang terdapat di hadapan selain mengekalkan peranan strategik industri dalam menyumbang kepada ekonomi teknologi tinggi negara.

“Saya berdoa 2017 akan membawa Malaysia ke landasan yang lebih baik dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.

Nancy berkata beliau amat yakin bahawa program platform yang MIGHT baru perkenalkan, seperti perkhidmatan rundingan dan nasihat serta perkhidmatan myForesight, akan dapat membawa kerjasama tersebut ke peringkat lebih tinggi. –Bernama

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.