fbpx
 

Prof Zakri dilantik Duta, Penasihat Sains ‘Kempen untuk Alam’

April 14, 2020by

KUALA LUMPUR: Wyss Campaign for Nature (WCN) dan National Geographic Society (NGS) melantik bekas Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid sebagai Duta dan Penasihat Sains kepada ‘Kempen untuk Alam’.

Kempen peringkat global anjuran kedua-dua organisasi berkenaan yang berpangkalan di Washington serta disokong lebih 100 pertubuhan pemuliharaan alam sekitar terkemuka dunia bertujuan menggalakkan ketua-ketua negara menyokong program memulihara alam semula jadi berasaskan bukti-bukti saintifik, secara besar-besaran.

Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dalam kenyataan berkata, Kempen untuk Alam secara khususnya akan menggesa pemimpin-pemimpin dunia supaya: –

• Melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada muka bumi menjelang tahun 2030.

• Berusaha menggembeleng dana untuk memastikan Kawasan-kawasan Dilindungi (Protected Areas) ini diuruskan sebaik mungkin.

• Dalam memulihara kepelbagaian bio (biodiversity), langkah-langkah sewajarnya harus diambilkira agar kepentingan kaum-kaum pribumi tidak diabaikan.

Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid
Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid

Dilaporkan, Mesyuarat Perjanjian Kepelbagaian Bio Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Biodiversity Treaty) dijadual berlangsung di Kunming, China pada Oktober depan dijangka turut membincangkan perkara berkenaan.

Mesyuarat itu bagaimanapun ditunda ke tahun 2021 mengambil kira pandemik COVID-19 yang belum ada kesudahannya.

Mengikut kenyataan itu, malapetaka COVID-19 yang semakin meruncing dan telah meragut ribuan nyawa setakat ini, menuntut masyarakat antarabangsa supaya bertindak secara proaktif menangani pandemik berkenaan.

Laporan Intergovernmental Panel on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES) pada tahun 2019 menunjukkan, besar kemungkinan wabak coronavirus seperti COVID-19 turut berpunca daripada kegiatan manusia mengganggu habitat hidupan liar. Tindakan mereka itu dikatakan telah membebaskan virus yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, berkata pelantikan Prof Zakri adalah yang terkini diterima sepanjang khidmat cemerlang beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara anugerah yang pernah diterima oleh Tan Sri Zakri termasuklah Midori Biodiversity Prize (2018), ASEAN Biodiversity Hero (2017), dan Anugerah Merdeka (2015).

Zakri yang juga Ahli Bersekutu Kanan MIGHT pernah menyandang jawatan Pengerusi Bersama organisasi ini. Beliau kini adalah Pengerusi Atri Advisory, sebuah syarikat perunding yang menasihati kerajaan, badan antarabangsa dan sektor swasta mengenai pembangunan lestari dan pemuliharaan kepelbagaian bio (biodiversity).

Pengarah Kempen untuk Alam, Brian O’Donnell, berkata Zakri dipelawa menyertai kempen ini kerana kewibawaan beliau sebagai Pengerusi dan Pengasas IPBES yang dianggotai 134 buah negara, selain pengalaman beliau sebagai Ahli Lembaga Penasihat Sains, Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.

Sementara itu, Prof Zakri berkata, pengiktirafan itu bukanlah bersifat peribadi. Ia lebih kepada bagaimana dunia melihat Malaysia menguruskan sumber semula jadinya dengan bijaksana.

“Sebagai sebuah daripada 17 negara terkaya dengan kepelbagaian bio di muka bumi ini, kita bertanggungjawab memulihara dan menggunakannya secara lestari. Negara ini telah lama proaktif menangani isu-isu global sejak Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) lagi yang berlangsung pada tahun 1992,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/04/677907/prof-zakri-dilantik-duta-penasihat-sains-kempen-untuk-alam

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.