fbpx
 

Kereta nasional 3.0: Kertas kerja vendor tempatan dikaji

November 8, 2018by

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), akan mengkaji semula 50 kertas kerja yang diterima daripada vendor tempatan yang mahu menjadi sebahagian daripada Program Pembangunan Vendor (PPV) projek kereta nasional 3.0.

Ketua Setiausaha MED, Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata kementerian menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada peserta tempatan yang berminat menjadi vendor.

“Sekarang ini terdapat 50 syarikat tempatan yang telah membuat permohonan dan mereka mahu menjadi sebahagian daripada projek kereta nasional 3.0.

“Bagaimanapun, kami akan menyemak semula dan melihat kemampuan serta kapasiti mereka dan buat masa ini, kami tidak mempunyai had tertentu untuk bilangan vendor yang diperlukan,” katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Pemasaran Global di sini, hari ini.

Wan Suraya berkata, PPV juga tetap diteruskan dan pihaknya akan menambah baik program terbabit.

“Program ini akan diteruskan tetapi lebih mantap dan berfokus. Kami juga akan berjumpa dengan penyelaras polisi kereta nasional 3.0, iaitu Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi tinggi Malaysia (MIGHT) untuk berbincang lebih lanjut,” katanya.

Sidang kemuncak hari ini dihadiri 800 peserta daripada pelbagai organisasi dan dianjurkan oleh Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan melalui latihan dan bimbingan.

“Sebelum ini, Insken menumpukan 100 peratus kepada latihan dan kali ini, kami akan menyeimbangkannya kepada 50:50 iaitu latihan dan bimbingan.

“Kami percaya hanya dengan latihan dan bimbingan dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan berdaya saing kerana bantuan pembiayaan saja tidak mencukupi bagi seseorang usahawan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu golongan B40 yang mempunyai minat menjadi usahawan.

Source: Berita Harian

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.