fbpx
 

COE mampu kembalikan kecemerlangan sains, teknologi, inovasi

December 22, 2019by

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Kecemerlangan (COE) sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, mampu mengembalikan kegemilangan dan kecemerlangan Islam dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

COE bakal menggabungkan kumpulan pakar daripada universiti terkemuka, makmal penyelidikan dan korporat dari negara Islam.

Gabungan organisasi berfikiran sama daripada negara anggota ini, akan berkongsi pengetahuan dan kemudahan secara aktif dalam aspek penciptaan dan reka bentuk bersama, melalui keupayaan serta inisiatif kapasiti yang praktikal.

Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) yang bertindak sebagai sekretariat sementara COE, menegaskan pusat itu juga berfungsi sebagai platform bebas mempromosikan diplomasi sains dan saling melengkapi.

Dalam kenyataannya semalam, MIGHT berkata, kerjasama itu seterusnya akan menyumbang kepada Agenda Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu 2030.

“Ini akan mendorong transformasi umat Islam sebagai pemain utama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi serta mengembalikan kegemilangan Islam,” katanya.

Selain MIGHT, COE adalah inisiatif tiga pengasas dan ahli lain iaitu Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI); Pusat Pengajian Kimia dan Biologi Antarabangsa Pakistan (ICCBS) dan Majlis Penyelidikan Sains dan Teknologi Turki (TUBITAK).

Penubuhan COE sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur itu, disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan dan Presiden Iran, Dr Hassan Rouhani.

Mengulas lanjut, MIGHT berkata, COE akan memberi penekanan kepada keperluan asas dan kualiti kehidupan iaitu Keselamatan, Makanan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Mobiliti, Tenaga, Utiliti dan Maklumat serta yang berkaitan.

“Kemajuan teknologi dalam bidang itu berpotensi besar untuk memenuhi keperluan asas umat Islam serta menerokai inisiatif projek yang mempunyai masa depan, hasil kerjasama yang tinggi.

“Apabila perancangan ini diterjemahkan ke dalam aktiviti perdagangan, ia akan meningkatkan pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memacu produktiviti di kalangan negara anggota,” katanya.

Katanya, kedudukan itu juga akan membuatkan pasaran lebih berkembang serta membuka peluang besar untuk perdagangan dan pelaburan kepada negara anggota.

Menjelang 2050, bilangan umat Islam dijangka meningkat kepada 2.76 bilion atau 29.7 peratus daripada penduduk dunia, termasuk negara di luar kategori 50 negara majoriti Islam.

“Pada 2018, jumlah perdagangan eksport antara lima negara berjumlah AS$32.48 bilion (RM134.2 bilion).

“Hanya kira-kira satu hingga tujuh peratus daripada jumlah eksport setiap negara yang didagangkan di dalam kumpulan, dengan Indonesia yang paling tinggi (7.31 peratus) dan Turki paling rendah, pada kadar 1.31 peratus.

“Jadi, ada peluang yang mencukupi bagi negara masing-masing meningkatkan perdagangan di antara satu sama lain,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/12/640803/coe-mampu-kembalikan-kecemerlangan-sains-teknologi-inovasi

OUR OFFICEGET IN TOUCH
Come and visit our office or simply send us an email anytime you want. We are open to all suggestions from our clients.
MIGHT Partnership Hub, Jalan IMPACT 63000, Cyberjaya, Selangor, Malaysia
SOCIAL MEDIAMIGHT Social Links

Copyright © Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). All rights reserved.